MAJLIS PENGUNDIAN, MENANDATANGANI PERJANJIAN PAJAKAN DAN PENYERAHAN KUNCI RUMAH TERES DI BAWAH SKIM PERUMAHAN NEGARA KAMPUNG LUGU

Isnin, 28 Syaaban 1447H bersamaan 16 Februari 2026M

Sejumlah 86 unit rumah jenis teres di bawah Skim Perumahan Negara (SPN) Kampung Lugu telah diundikan pada hari Isnin, 16 Februari 2026 kepada pemohon-pemohon yang layak mengikuti SPN.

Majlis Pengundian telah diadakan di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, Jalan Tungku Link, Gadong. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan, Yang Mulia Awang Alwi bin Haji Md Yussof. Turut hadir adalah pegawai-pegawai kanan Jabatan Kemajuan Perumahan dan Ketua Kampung Lugu & Kampung Kaktimahar, Yang Mulia Awang Abdul Hadi bin Haji Abdul Sani.

Sebelum Majlis Pengundian pada hari tersebut, para pemohon telah menghadiri sesi taklimat yang diadakan pada hari Khamis, 05 Februari 2026 di Dewan Bankuet, Annajat Kompleks, Jalan Beribi bagi mendengar penerangan mengenai peraturan dan syarat mengikuti SPN, tatacara pembayaran balik pinjaman perumahan, tatacara penyambungan bekalan air dan elektrik dan juga tatacara menghadapkan permohonan tambah ubahsuai rumah serta beberapa penerangan lainnya yang disampaikan oleh wakil daripada Jabatan Kemajuan Perumahan dan wakil daripada jabatan-jabatan serta agensi yang berkenaan.​

Majlis Pengundian diselajurkan dengan penandatanganan Perjanjian Pajakan Bagi Mengikuti Skim Perumahan Negara dan penyerahan kunci-kunci rumah kepada para pemohon.