Majlis Dikir Maulud Kementerian Pembangunan Di Masjid Kampung Kilanas

Isnin, 11 Rabiulawal 1448H bersamaan 24 Ogos 2026M

Bagi menyambut dan menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam (S.A.W.), rombongan Kementerian Pembangunan meneruskan lagi Majlis Dikir Maulud di Masjid Kampung Kilanas, semalam.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Perumahan dan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku Ketua Rombongan Kementerian Pembangunan ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan. Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan; Ketua-Ketua Jabatan; pegawai-pegawai kanan; serta pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis Dikir Maulud dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti dengan bacaan Dikir Syarafil Anam. Majlis kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, bacaan Dikir Marhaban, Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Majlis turut diimarahkan dengan pengisian rohani melalui tazkirah agama yang disampaikan oleh Yang Mulia Profesor Madya Dr. Haji Jamal Abu Nasir bin Haji Zakaria dari Universiti Brunei Darussalam.

Penganjuran Majlis Dikir Maulud seumpama ini bukan sahaja bertujuan untuk memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta menyemarakkan syiar Islam, malah turut menjadi wadah dalam memperkukuhkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan warga Kementerian Pembangunan dan masyarakat setempat.