MAJLIS PENGUNDIAN, PENANDATANGANAN PERJANJIAN PAJAKAN DAN PENYERAHAN KUNCI BAGI RUMAH TERES DI BAWAH SKIM PERUMAHAN NEGARA KAMPUNG LUGU

Selasa, 09 Jamadilawal 1448H bersamaan 20 Oktober 2026

Sejumlah 68 unit rumah teres di bawah Skim Perumahan Negara (SPN) Kampung Lugu telah diundikan kepada pemohon-pemohon yang layak dalam satu majlis yang berlangsung pada hari Selasa, 20 Oktober 2026, bertempat di Dewan Indah Biru, Kampung Lugu.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Pemangku Timbalan Pengarah Kemajuan Perumahan, Yang Mulia Awang Haji Mohd Sufri bin Haji Abdul Hamid. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP) serta Ketua Kampung Lugu dan Kampung Katimahar, Yang Mulia Awang Abdul Hadi bin Haji Abdul Sani.

Sebelum majlis pengundian diadakan, para pemohon beserta penjamin masing-masing telah diberikan taklimat mengenai tatacara pembayaran balik pinjaman Perumahan yang diadakan pada hari Khamis, 08 Oktober 2026 bertempat di Embun Hall, Annajat Kompleks, Jalan Beribi.

Taklimat kepada pemohon-pemohon mengenai peraturan dan syarat mengikuti Skim Perumahan Negara, tatacara penyambungan bekalan air dan elektrik, prosedur mengemukakan permohonan bagi kerja-kerja tambahan dan pengubahsuaian rumah, perkhidmatan pengutipan sampah secara berlanggan serta perkara-perkara lain yang berkaitan telah diadakan pada hari Sabtu, 17 Oktober 2026 bertempat di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan (MODTC), Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan, Kementerian Pembangunan, Jalan Pembangunan.

Majlis pada hari ini turut diselajurkan dengan penandatanganan Perjanjian Pajakan bagi mengikuti Skim Perumahan Negara serta penyerahan kunci rumah kepada para pemohon yang berjaya. Penganjuran majlis ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Kemajuan Perumahan dalam memastikan proses pengagihan rumah di bawah Skim Perumahan Negara dilaksanakan dengan teratur, di samping memberikan garis panduan yang jelas kepada para pemilik mengenai tanggungjawab dan prosedur yang perlu dipatuhi sepanjang mengikuti skim berkenaan.