JABATAN KEMAJUAN PERUMAHAN MERIAHKAN SYAWAL DENGAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI
Khamis, 27 Syawal 1447H bersamaan 16 April 2026M
Hari Raya Aidilfitri memberikan peluang untuk kita bermaaf-maafan serta menzahirkan rasa kesyukuran setelah menjalani ibadah puasa selama satu bulan di samping dapat mengukuhkan lagi ikatan ukhwah.
Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan, turut sama memeriahkan dengan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi bertempat di Dewan Muwafaqah, Ibu Pejabat Jabatan Kemajuan Perumahan, Lapangan Terbang Lama, Berakas.
Majlis ini diadakan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Jabatan di samping meraikan bulan Syawal yang penuh keberkatan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Awang Alwi bin Haji Mohammad Yussof, Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan yang turut berkesempatan beramah mesra dengan warga Jabatan serta mengunjungi booth yang menyediakan pelbagai juadah Hari Raya.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat, diikuti dengan menikmati jamuan Hari Raya. Turut hadir di majlis berkenaan adalah Yang Mulia Awang Haji Muhammad Sufri bin Haji Abdul Hamid, Pemangku Timbalan Pengarah Kemajuan Perumahan beserta pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Jabatan.
Penganjuran majlis seumpama ini diharap dapat memperkukuhkan semangat perpaduan, kerjasama serta keharmonian dalam kalangan warga Jabatan Kemajuan Perumahan.
